PENGGUNA Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) tidak menolak kemungkinan wujudnya gangguan makhluk halus di laluan itu.
Umum
mengetahui LPT2 dicop sebagai ‘lebuh raya berhantu’ rentetan kes
kemalangan maut yang berterusan berlaku di laluan sepanjang 184
kilometer itu sejak dibuka sehingga sekarang.
Jolokan
itu diberi orang ramai kerana bagi segelintir mereka kemalangan meragut
nyawa yang berlaku itu bukan semata-mata berpunca daripada faktor yang
boleh dilihat dengan mata kasar sahaja sebaliknya ia turut berkait
dengan gangguan makhluk ghaib.

Terbongkar! Pengakuan mangsa kemalangan tentang LPT2 berhantu
Senani
melihat lembaga wanita berjubah labuh dan berambut panjang mengurai
bergayut pada papan tanda elektronik ini menyebabkan kenderaan yang
dipandu nyaris terbabas.
Perihal
LPT2 yang kononnya ‘keras’ dan punya ‘penunggu’ juga turut rancak
diperkatakan di media sosial terutama di Facebook, malah ada netizen
yang tampil menceritakan kisah seram yang pernah dialami untuk
peringatan pengguna LPT2 yang biasa menggunakan laluan itu dan
perkongsian kisah seram itu turut disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp.
Bagi
mengetahui sejauh mana dakwaan berkenaan, Sinar Harian mengupas isu
tersebut dan berjumpa dengan mangsa kemalangan dan pengguna LPT2 yang
menggunakan laluan berkenaan setiap hari.
Rata-rata
mereka tidak menolak kemungkinan kemalangan turut dipengaruhi faktor
gangguan makhluk halus berdasarkan pengalaman seram yang pernah dilalui.
Nampak langsuir bergayut pada papan tanda elektronik
Isteri
peneroka Felda Neram 2 Kemaman, Senani Omar, 53, berkata, kereta yang
dinaikinya sekeluarga nyaris terbabas selepas anak lelakinya yang
memandu terkejut melihat lembaga perempuan berbaju putih labuh dan
berambut panjang sedang bergayut pada papan tanda elektronik atau VMS.
Katanya,
kejadian berlaku sekitar jam 10.30 malam berdekatan kawasan Hentian
Rehat dan Rawat (R&R) Perasing LPT2 pada awal September lalu semasa
mereka empat beranak dalam perjalanan balik dari Kuantan ke rumah mereka
di Felda Neram 2, Bandar Cheneh Baru.
“Waktu
itu makcik duduk di tempat duduk penumpang depan. Tapi semasa tiba di
kawasan Plaza Tol Jabor, makcik bersama menantu dan seorang lagi anak
yang duduk di belakang tertidur.
“Hanya
beberapa ratus meter untuk sampai di depan R&R Perasing, anak
makcik, Wan Shahdillah Wan Abdullah, 28, yang memandu itu tiba-tiba
nampak langsuir sedang tergantung pada VMS hingga dia terperanjat dan
kereta Proton Wira kami hampir terbabas ke kanan jalan. Ketika itu, VMS
itu gelap dan tak ada tulisan cerah seperti biasa,” katanya.
Bagaimanapun,
katanya, dalam keadaan panik berkenaan mereka bernasib baik kerana
laluan itu lengang dan anaknya yang bekerja sebagai pemandu lori sawit
sempat mengawal stereng dan berhenti seketika di lorong kecemasan.
“Nasib
baiklah hanya selang beberapa saat lepas nampak langsuir itu ada bas
ekspres yang lalu jadi anak makcik terus memandu dengan mengekori
belakang bas hingga tiba ke susur keluar Plaza Tol Cheneh,” katanya.
Namun,
ibu sembilan anak itu berkata, anak keempatnya itu tidak menceritakan
kejadian itu kepadanya sebaik dia tersedar dari tidur apabila sudah tiba
di rumah kira-kira jam 11.30 malam.
“Dia cuma cerita pagi esoknya dan hari itu juga dia ambil cuti kecemasan,” katanya.
Terlihat wanita berjubah putih
Kelibat
wanita berjubah putih labuh dengan rambut panjang mengurai turut
dilihat seorang pekerja kilang sawit, Mohd Muradzi Mohd Nawi, 20,
kira-kira tiga jam selepas berlaku kemalangan yang meragut nyawa dua
beranak yang juga jiran hadapan rumahnya.
Dalam
kemalangan kira-kira jam 11.40 malam pada 17 Oktober lalu di Kilometer
273.9 susur keluar ke Plaza Tol Cheneh itu, seorang peneroka Felda Neram
2, Hasan Abd Wahab, 53, dan anak sulungnya, Hanis Shazwani, 21,
terbunuh sementara isteri dan anak bongsunya cedera.
Mohd
Muradzi berkata, sejurus mendapat khabar mengenai kemalangan yang
menimpa jirannya itu, dia bersama abangnya, Mohd Mutalib, 33, segera
bergegas ke Hospital Kemaman di Chukai untuk menziarahi.
“Kami
balik ke rumah ikut LPT2, namun di separuh jalan saya nampak satu
lembaga wanita yang pakai baju putih labuh dan rambut panjang duduk di
atas pengadang jalan di jejambat Lubuk Batu, iaitu lebih kurang lapan
kilometer sebelum tempat arwah Pok Hasan kemalangan.
“Tapi
muka lembaga itu saya tak nampak sebab gelap. Menggeletar badan saya
masa itu dan waktu kami lalu di bawahnya ayat-ayat suci al- Quran tak
putus-putus saya baca dalam hati. Waktu itu saya sempat toleh ke arah
jam dan jarum tunjukkan pukul 3 pagi,” katanya.
Setelah
tiba di rumah, Mohd Muradzi yang bekerja di Bukit Bandi, Cerul pelik
kerana abangnya yang memandu kenderaan mengakui tidak nampak apa-apa
sepanjang perjalanan pulang mereka ke rumah.
“Sebelum
ini saya cuma dengar cerita orang saja pasal macam-macam kisah mistik
sepanjang LPT2 ini. Tapi lepas lihat sendiri, tak tahu nak cerita macam
mana perasaan waktu itu,” katanya.
Menurutnya,
dari pelbagai versi cerita yang pernah didengarnya terdapat satu kisah
yang paling diingatnya iaitu kisah rakannya sendiri yang bekerja sebagai
pemandu lori dan pernah terserempak dengan seorang warga emas lelaki
berkopiah yang berjalan kaki dan menahan lori yang dipandu pada jam 2
pagi di hadapan R&R Perasing.
Sebaik sahaja ditahan, rakan Mohd Muradzi memberhentikan kenderaan dan bertanya mengenai arah tuju pakcik lewat usia itu.
“Pakcik
itu jawab ‘mahu ke depan tu sikit’. Tapi dia bukan mahu tumpang kawan
saya sebaliknya dia pesan pada kawan saya supaya hati-hati. Dia bagitahu
jalan di Perasing itu tak elok sebab ada kisah-kisah lama. Katanya di
kawasan itu adanya kubur-kubur lama.
“Saya
juga pernah dengar yang kawasan Lembah Perasing di kawasan ini adalah
perkuburan besar komunis puluhan tahun lalu dan dalam banyak-banyak
lokasi di sepanjang LPT2 ini difahamkan kawasan Perasinglah paling
‘keras’,” katanya.
Mangsa terselamat trauma
Sementara
itu, mangsa kemalangan yang terselamat, Salimah Ghalam, 51, yang juga
ibu kepada tiga anak mengakui terkejut apabila mendengar kisah jirannya
melihat lembaga wanita berambut panjang selepas tiga jam mereka empat
beranak kemalangan.
“Muradzi
ceritakan kepada saya apa yang dia nampak itu lepas seminggu kami
kemalangan. Dia cerita pada saya dekat waktu senja semasa saya sedang
termenung di depan rumah.
“Saya
pun tidak tahu apa yang arwah suami nampak waktu kami kemalangan. Saya
yang duduk sebelah suami tak tidur pun waktu kami kemalangan dan seingat
saya secara tiba-tiba kereta terbabas langgar pembahagi jalan sebelum
saya pengsan sekejap,” katanya.
Ketika
kejadian, Salimah bersama arwah suami dan arwah anak sulungnya serta
anak bongsu, Hanis Shazhizatul, 14, dalam perjalanan balik dari Kampung
Ibok, Kijal kerana menziarahi adiknya yang tercedera akibat terkena
letupan belon gas.
Hanya
anak keduanya, Hanis Shazhirah, 19, yang tidak terlibat dalam nahas itu
kerana anak perempuannya itu tidak tinggal di rumah disebabkan belajar
di Kolej Islam Pahang (Kipsas).
“Saya
tak pernah lalu LPT2 sebelum ini tapi mungkin arwah suami dah banyak
kali lalu. Sampai sekarang saya masih trauma dan tak mahu lagi lalu
jalan itu. Sebagai mangsa, saya tak tolak kemungkinan faktor mistik
turut jadi penyebab kemalangan kerana dalam al-Quran sendiri pun sudah
dinyatakan ada makhluk lain dicipta selain manusia,” katanya.
Rasa mengantuk ketika lalui tempat ‘keras’
Pemilik
pusat rawatan alternatif, Laila Husin, 56, mengakui banyak kali dia
hampir terbabas setiap kali melalui ‘lokasi keras’ di LPT2 sekitar
Kemaman berikutan rasa mengantuk yang teramat sangat ketika melalui
laluan itu.
“Apa
yang saya perasan, ada tiga tempat yang tiba-tiba kepala saya rasa
hanyut dan datang rasa mengantuk yang teramat sangat setiap kali melalui LPT2,” katanya.
Menurutnya,
lokasi itu ialah sekitar R&R Perasing yang menjadi lokasi enam
beranak maut dalam kejadian 14 Oktober lalu, di Cheneh (lokasi
kemalangan melibatkan bekas Ketua Polis Kemaman, Superintendan Che Suza
Che Hitam) dan sebelum
Plaza Tol Kijal.
Plaza Tol Kijal.
Katanya,
rasa hanyut dan mengantuk itu dirasainya pada ketika melalui lebuh raya
itu pada waktu siang dan bukan pada waktu malam.
“Yang
saya pelik, saya bukannya tak cukup tidur pun. Setiap kali lalui ikut
LPT2 mesti saya mengantuk ketika lalu tiga lokasi itu. Kaki saya yang
tekan pedal minyak seolah-olah tak rasa apa-apa. Kadang-kadang saya
terlelap beberapa saat, sebab itu saya hampir hilang kawalan banyak
kali.
“Dalam
keadaan begini apa yang penting kita kena basahkan mulut dengan bacaan
ayat suci al-Quran dan zikir, malah sebelum mulakan perjalanan juga
perlu amalkan baca doa agar sentiasa dilindungi. Dari pengalaman yang
saya lalui ini saya percaya adanya gangguan makhluk ghaib tapi ajal maut
semuanya di tangan ALLAH SWT,” katanya.
Sumber : Sinar
0 Response to " Terbongkar! Pengakuan mangsa kemalangan tentang LPT2 berhantu "
Post a Comment