PERTEMUAN SAYU NORAZIRA BAWA ANAKNYA BERJUMPA SEORANG IBU YANG BARU KEHILANGAN ANAK SETELAH ARWAH SEIRAS WAJAH ANAKNYA
“Saya melakukan semua ini bukan untuk mendapat pujian atau mengumpul ‘like’, sebaliknya kerana naluri keibuan saya yang kasihan melihat seorang ibu terlalu merindui arwah anaknya.
“Ini mendorong saya untuk membawa anak tunggal kami berjumpa dengannya,” kata suri rumah, Norazira Abu Bakar, 34, dari FELDA Kota Gelanggi, Jerantut yang membawa anaknya, Mohd Khairul Razin Mohd Safridin, 11 bulan bertemu dengan wanita berkenaan, Norhafizah Hassan, 27.
Pertemuan itu berlaku selepas kisah Norhafizah menjadi viral di media sosial kerana ingin bertemu dengan Mohd Khairul Razin yang dikatakan seiras dengan arwah anaknya, Aqeel Naufal Mohd Azli yang meninggal dunia akibat kerosakan otak, April lalu.
Menurut Norazira, semuanya dipengaruhi naluri keibuannya dan dia memahami perasaan seorang ibu yang kehilangan anak.
“Saya menunggu selama 10 tahun untuk mendapatkan Mohd Khairul Razin, jadi saya memahami perasaan ibu Aqeel Naufal serta keinginannya yang mahu bertemu anak saya untuk melepaskan rindu.
“Saya juga sering berpesan pada diri sendiri apa yang saya ada kini adalah pinjaman daripada Allah.
“Tiada salahnya saya berkongsi jika ia boleh memberi kegembiraan kepada orang lain selagi perkara itu tidak memudaratkan atau mengancam keselamatan kami sekeluarga,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Norazira berkata, dia sebelum ini pernah mengikuti perkembangan Aqeel Naufal yang koma sebelum meninggal dunia selepas kisahnya itu menjadi viral di Facebook, namun tidak menyangka takdir menemukan kedua-dua keluarga mereka.
Bercerita mengenai pertemuan itu, Norazira berkata, dia berjumpa dengan Norhafizah serta suaminya di sebuah hotel di Shah Alam empat jam sebelum perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Selangor dan Pahang, Ahad lalu.
Katanya, sebaik berjumpa dengan Norhafizah, reaksi wanita itu kelihatan seperti tergamam dan menangis sebaik menatap wajah Mohd Khairul Razin.
Sumber: Harian Metro
0 Response to " Pertemuan sayu Norazira bawa anaknya berjumpa seorang ibu yang baru kehilangan anak setelah arwah anak ibu tersebut dikatakan seiras wajah anaknya "
Post a Comment