i1

Produk Dato'Sri Vida Qu Puteh diharamkan di Malaysia dan Brunei

ik 1

Sebabkan rambut gugur, krim Qu Puteh diharamkan di Malaysia
Sebabkan rambut gugur, krim Qu Puteh diharamkan di Malaysia
Jenama popular yang menjadi buah mulut ramai Qu Puteh menerima tamparan hebat hari ini apabila Brunei dan Malaysia mengharamkan satu produknya Qu Puteh Whitening Pro 9.
“Produk kosmetik di atas telah diuji dan dikesan mengandungi merkuri yang tidak dibenarkan di dalam produk kosmetik.
“Oleh itu, produk kosmetik Qu Puteh Whitening Pro 9 tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” kata ketua pengarah kesihatan Malaysia petang ini.
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga berkata Kementerian Kesihatan Malaysia menerima aduan kesan buruk daripada pengguna yang mengalami tinnitus (telinga berdesing) dan keguguran rambut setelah menggunakan produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block selama lebih kurang tiga bulan.
“Pengguna telah pulih daripada kesan yang dialami apabila berhenti menggunakan produk-produk tersebut.
“Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah membuat persampelan dan menguji produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block.
“Hasil pengujian menunjukkan salah satu produk tersebut iaitu produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dikesan mengandungi merkuri pada paras yang tinggi,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Sementara Brunei pula melarang jualan dua produk kecantikan jenama Qu Puteh selepas Kementerian Kesihatan negara itu mendapati ia mengandungi merkuri atau raksa.
Krim pemutih Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block mengandungi bahan kimia itu setelah diuji Jabatan Perkhidmatan Farmasi Brunei.
Bagaimanapun Qu Puteh Whitening UV Block tidak dilarang di Malaysia.

BERIKUT KENYATAAN PENUH KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA, DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH:

Produk kosmetik di atas telah diuji dan dikesan mengandungi merkuri yang tidak dibenarkan di dalam produk kosmetik. Oleh itu, produk kosmetik Qu Puteh Whitening Pro 9 tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK), Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerima laporan kesan advers daripada pengguna yang mengalami tinnitus(ringing in the ears) dan keguguran rambut setelah menggunakan produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block (NOT151106645K) selama lebih kurang tiga bulan.
Pengguna telah pulih daripada kesan yang dialami apabila berhenti menggunakan produk-produk tersebut.
BPFK telah membuat persampelan dan menguji produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh Whitening UV Block. Hasil pengujian menunjukkan salah satu produk tersebut iaitu produk Qu Puteh Whitening Pro 9 dikesan mengandungi merkuri pada paras yang tinggi.
Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri lazimnya dipasarkan untuk tujuan mencerahkan kulit dan rawatan anti penuaan seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan kedutan.
Produk kosmetik tidak boleh mengandungi merkuri kerana ia boleh memudaratkan kesihatan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.
Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu.
Bayi dan kanak-kanak kecil berisiko terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut.
Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
Notifikasi produk Qu Puteh Whitening Pro 9 telah dibatalkan dan pihak syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk berkenaan telah diarahkan untuk memberhentikan penjualan atau pembekalan dengan serta-merta dan memanggilbalik kesemua stok fizikal produk tersebut daripada pasaran dalam tempoh 72 jam.
Sesiapa yang mempunyai stok produk di atas dinasihatkan menghentikan penjualan atau pengedaran atau penggunaan produk tersebut dengan serta-merta.
Penjual adalah diingatkan pemilikan produk-produk ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Pengguna digalakkan untuk melapor kepada BPFK mengenai sebarang kesan sampingan atau kesan advers yang dialami apabila mengguna sesuatu produk kosmetik di talian 03-7801 8496 atau 03-7883 5532 atau melalui emel kosmetik@bpfk.gov.myserta mendapatkan rawatan perubatan dengan kadar yang segera.
ik2

0 Response to " Produk Dato'Sri Vida Qu Puteh diharamkan di Malaysia dan Brunei "

Post a Comment