Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berbual mesra dengan orang ramai sebelum berangkat pulang setelah selesai bersantap pagi di Restoran Al Ziya Fathima di Pusat Perniagaan Mas Jaya, Jalan Salleh, Muar, Johor, semalam. UTUSAN/MUHAMAD AIMY AHMAD
MUAR 4 Jan. Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meneruskan cara tersendiri mendekati rakyat jelata apabila berkenan bersarapan di Restoran Al Ziya Fathima di Pusat Perniagaan Mas Jaya, Jalan Salleh, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim yang berbaju kemeja dan bersongkok di restoran berkenaan pada pukul 6.45 pagi, tidak disedari orang ramai kerana baginda melangkah masuk tanpa sebarang protokol.
Namun tidak lama selepas itu, para pelanggan restoran tersebut teruja kerana menyedari kehadiran baginda yang ditemani Pegawai Daerah, Ramlee A. Rahman.
Seperti orang biasa, baginda memesan sendiri santapan kegemarannya iaitu roti canai, kari kambing dan kari ayam serta minuman halia o ais sebelum berkenan bermesra dan bergambar bersama-sama rakyat.
Selepas meluangkan masa kira-kira 40 minit bersarapan, baginda membuatkan pelanggan lain berasa teruja apabila membayar harga makanan kesemua mereka sebelum berangkat pulang ke Istana Tanjung, di sini dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda.
Baginda juga sebelum ini melakukan perkara yang sama di beberapa buah restoran di daerah ini.
Seorang pengunjung, Hashim Isnin, 46, mengakui amat teruja dan bangga kerana buat pertama kali berpeluang bersarapan dengan Sultan Ibrahim.
Saya tidak sangka dapat bergambar dan bersalam dengan Tuanku kerana tidak tahu pun baginda akan bersarapan bersama-sama rakyat pagi ini, katanya.
Amin Razak, 38, yang baru selesai menghantar anaknya ke sebuah sekolah berdekatan kira-kira pukul 7 pagi ini terkejut apabila melihat rombongan Sultan Johor singgah bersarapan di restoran berkenaan.
Sebaik sahaja melihat baginda melangkah masuk, saya turut singgah bersarapan di sini kerana bukan mudah dapat bersarapan dengan sultan yang berjiwa rakyat dan disayangi semua rakyat Johor, katanya.
Dalam pada itu, pengurus restoran tersebut, Ali Nowfal Abdul Rahman, 30, berkata, mereka cuba menyediakan hidangan yang terbaik selepas mengetahui baginda akan singgah di restoran berkenaan untuk bersarapan.
Saya hanya mengetahui Tuanku akan singgah ke restoran kami pada pukul 6 pagi tadi walaupun pihak istana ada memberi makluman awal semalam, katanya yang gembira dan bangga apabila baginda memilih bersarapan di restorannya.
Sumber
0 Response to " SUBHANALLAH RAMAI TERKEJUT DENGAN TINDAKAN SULTAN JOHOR DI RESTORAN INI MENYENTUH HATI "
Post a Comment