TAN SRI ANNUAR MUSA HARAP BOLA SEPAK MULA 9 MALAM UNTUK UTAMAKAN SOLAT
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa berharap saingan Liga Malaysia musim ini bermula pada pukul 9 malam bagi memberi ruang kepada penonton untuk menunaikan solat.
Susulan itu, beliau berkata, pemain akan memulakan sesi memanaskan badan bermula pukul 8.10 malam.
“Dengan cara itu, penonton ada masa yang cukup dari kira-kira pukul 7.30 malam untu masuk ke dalam stadium.
“Utamakanlah solat… semoga semua mendapat berkat,” katanya menerusi satu kenyataan dalam laman Facebook miliknya pada Ahad.
Terdahulu, Annuar Musa mengumumkan penganjuran perlawanan bola sepak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru, Kelantan akan berubah wajah dari aspek kelolaannya antaranya dendangan Lagu Negaraku akan dinyanyikan secara langsung oleh tetamu jemputan.
Jelas beliau, amalan terbaharu The Red Warriors (TRW) menyanyikan lagu kebangsaan secara langsung di dalam stadium telah dilakukan kelab terkemuka England dan Eropah.
Malah, katanya, azan juga akan berkumandang secara live dari stadium tersebut.
Pada Jumaat lalu, Kafa memeterai perjanjian penajaan secara rasmi dengan pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida.
Vida merupakan penaja utama pasukan tersebut dengan nilai tajaan berjumlah RM16 juta selama dua tahun.
Sumber : Mstar
0 Response to " Tan Sri Annuar Musa harap bola sepak mula 9 malam untuk utamakan solat "
Post a Comment