Seorang
wanita mengambil keputusan untuk memulangkan semula barangan yang
dibidanya dengan harga RM100,000 dalam lelongan barang kelengkapan rumah
kepada pemiliknya, bekas Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Hamidah Osman.
Fatimah
Mohd Isa, 52, berkata, dia dengan rela hati menyerahkan kembali
barangan berupa 62 unit kelengkapan rumah dan tiga set bilik tidur itu
sebagai tanda pertolongan seorang sahabat.
“Barang
yang dibida tadi akan diserahkan semula kepada Hamidah kerana
perjuangannya ketika itu adalah mempertahankan kalimah ALLAH. Sebagai
sahabat, kenapa biarkan dia keseorangan ketika dalam kesusahan.
“Barang
ini tidak akan dibawa keluar dari rumahnya (Hamidah) kerana dengan rela
hati saya membantu setakat RM100,000 bida barangan yang dilelongkan dan
dikembalikan semula kepadanya,” katanya di sini, semalam.
Terdahulu, barangan dalam rumah bekas Adun Gunung Rapat di Kampung Tersusun di sini, dilelong kira-kira jam 11 pagi, semalam.
Tiga
kali lelongan dilakukan bermula RM200,000 sebelum berjaya dibida
Fatimah tidak sampai lima minit dengan nilai RM100,000 bagi keseluruhan
barangan.
Sementara
itu, Hamidah ketika ditemui berkata, beliau reda dengan lelongan
barangan itu dan bangga kerana ia bertitik tolak dengan perjuangannya
mempertahankan kalimah Allah daripada digunakan di gereja, lima tahun
lalu.
“Ini
adalah perjuangan mempertahankan kalimah Allah dan saya terheret dalam
mahkamah. Terlalu banyak ujian dan cabaran yang dilalui namun, sebagai
ahli politik, ‘Kalau takutkan ombak, takkan berumah di tepi pantai’,”
katanya.
Ditanya
mengenai baki ganti rugi berjumlah RM100,000 yang masih tertunggak,
Hamidah berkata, perkara itu diserahkan sepenuhnya pada prosedur
seterusnya untuk tindakan lanjut.
Barangan
milik Hamidah itu dilelong selepas Mahkamah Tinggi menyita barangan itu
pada 23 Disember tahun lalu ekoran gagal melunaskan bayaran ganti rugi
RM200,000 dalam kes saman fitnah kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid
Samad.
Pada
27 April 2015, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Hamidah membayar
jumlah berkenaan kepada Khalid atas penerbitan artikel yang bertajuk
‘Umat Islam perlu Bersatu’ dalam blognya sekitar Januari 2010 dengan
memuatkan gambar bertindih Khalid berpakaian ala seorang paderi.
Sumber: Sinar Harian
0 Response to " Wanita bida barang lelong Hamidah RM100 ribu pulangkan semula barang "
Post a Comment